Kampung Sungai Sekiah
Kampung Sungai Sekiah adalah satu perkampungan di dalam kawasan Behrang Ulu Batu 7 selain dari Kampung Baru Behrang Ulu. Terletak lebih kurang 12 kilometer ke utara melalui Bandar raya Proton atau Proton City dari Tanjung Malim, 7 kilometer ke barat dari Behrang Stesen atau pekan Behrang dan lebih kurang 22km ke selatan dari Slim River di dalam Negeri Perak. Nama kampung ini diambil sempena kedudukannya di antara Sungai Sekiah dan Sungai Behrang yang kemudian mengalir ke Sungai Bernam.
Sejarah penempatan awal di kampung ini adalah pada awal kurun ke-20 iaitu lebih kurang dalam tahun 1917 di mana ia diketuai oleh seorang berketurunan Selayang iaitu Panglima Ubong, orang Minang dan Rokan. Panglima Ubong adalah antara orang yang merantau dan terlibat dalam beberapa gerakan dan peperangan bersama orang-orang Mandailing dari Sumatera hingga ke Tanah Melayu. Orang Mandailing pada masa itu telah memisahkan diri mereka dan membuat perkampungan di pertemuan sungai Sungai Dara dan Sungai Behrang iaitu beberapa kilometer ke arah hulu kampung sekarang dan kemudiannya membuat penempatan lain di Sungai Jerenang iaitu di hulu sungai Sekiah sebelum akhirnya berpindah ke kampung sekarang ini.Tanah perkuburan digunakan bersama sejak dari permulaan pembukaan kawasan ini lagi hingga sekarang ini juga dikongsi oleh penduduk Behrang Ulu Batu 8.
Terdapat lebih kurang 100 buah rumah dan keluarga juga lebih kurang hampir 400 penduduk di kampung ini tidak termasuk mereka yang telah berhijrah dan bertempat di tempat lain.Pada umumnya setiap penduduk di kampung ini dan juga di Batu 8, tidak banyak, sedikit akan mempunyai talian kekeluargaan.
Pada masa sekarang, sumber ekonomi utama ialah pertanian terutamanya getah. Kerana terdapatnya banyak dusun buah-buahan, ia menjadi sumber pendapatan bermusim seperti durian dan petai. Dengan adanya pembangunan pesat terutamanya Pembangunan Proton City di kawasan berhampiran kira-kira 5 km, ramai penduduk telah melibatkan diri di dalam sektor industri dan pembuatan terutamanya golongan muda.
Geografi kawasan ini adalah di lembah tanah tinggi iaitu di kawasan kaki Banjaran Titiwangsa yang berhawa sejuk dan berkabus pada waktu malam tetapi agak panas di waktu siang kerana angin yang bertiup dihalang oleh bukit dan gunung.
Orang Mandailing di Kampung Sungai Sekiah
Masyarakat Mandailing pada awalnya membuat penempatan lain iaitu dikawasan berhampiran pertemuan sungai Behrang dan sungai Dara dan kemudiannya ke hulu Sungai Sekiah iaitu di sekitar kawasan Sungai Jerenang.Kemudian semasa zaman darurat komunis, pihak British telah mengarahkan penduduk atau masyarakat Mandailing ini untuk berpindah ke Kampung Sungai Sekiah kerana takut akan latar belakang masyarakat ini yang banyak terlibat dalam perang menentang penjajah dan perang lain di Sumatera dan di Semenanjung.Takut akan risiko gerakan Parti Komunis Malaya mereka mengambil keputusan memindahkan masyarakat ini, berdekatan kemudahan dan pos pihak British dengan niat untuk memantau pergerakan mereka.Masyarakat ini akhirnya diarahkan berpindah ke Kampung Sungai Sekiah dan sebahagian lagi ke Behrang Ulu Batu 8.
Maka bermula dari itu masyarakat Mandailing ini hidup bersama dengan kaum etnik lain di kampung ini akan tetapi kerana jumlah mereka yang lebih ramai, maka mereka menjadi penduduk majoriti di kampung ini. Tradisi dan adat masyarakat ini semakin hilang akan tetapi masyarakat Mandailing di sini masih teguh akan jati diri keturunan mereka tetapi tidak banyak tradisi yang diamalkan hinggakan bahasa Mandailing itu sendiri sangat jarang digunakan. Kematian orang lama dan terdahulu juga akhirnya menyebabkan bahasa ibunda Mandailing, sedikit demi sedikit tidak lagi digunakan di kampung ini walapun masih ada dari kalangan warga emas dan separuh umur yang masih fasih bertutur dalam bahasa ini.
Jati diri masyarakat
Peredaran zaman telah menjadikan penduduk di kampung ini tidak lagi berkisar kepada keturunan dan adat etnik masing-masing. Perkahwinan campur dan pergaulan etnik juga telah menyebabkan hal ini terjadi.Penduduk di kampung ini mempunyai jati diri dan bahasa yang tersendiri termasuklah kepada penduduk Behrang Ulu Batu 8.
Masyarakat kampung ini berpegang teguh kepada adat dan tradisi menghormati orang tua juga kepada mereka yang berilmu. Bahasa Melayu yang digunakan menjadi satu loghat bahasa etnik yang tersendiri. Terdapat bunyi atau telo campuran dari bahasa Rawa, Selayang, Minang, Mandailing menjadikan bahasa tempatan yang diguna pakai ini mempunyai satu telo dan bunyi yang tesendiri,bahasa Melayu seakan Rawa, Selayang dan Minang tetapi tonanya lebih kepada Mandailing yang lebih keras.
Wednesday, May 12, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)